|
Kisah Pembakar Roti Saya Masa mak saya kawin dengan bapak saya dulu, mereka telah membeli TV bewarna jenama Sharp. Masa tu saya belum lahir, TV bewarna memang gempak habis kat Kem Askar Tambun, Ipoh. Sehingga beberapa tahun lepas, kebanyakan perkakasan elektrik di rumah kami adalah dari generasi sewaktu bapak saya seorang askar. Itu adalah peralatan tahun 70-an dan 80-an yang mana termasuklah sebuah kipas meja dan sterika National, dapur memasak dan peti sejuk Zanussi dan pembakar roti National. Selain daripada TV yang rosak tak menghasilkan warna selepas 30 tahun digunakan, hanya kipas dan peti sejuk sahaja yang terpaksa ditamatkan perkhidmatannya. Bukan kerana bahagian elektrikalnya rosak, tapi kerana fizikal karat besi. Encik kipas meja itu pula bergoyang tak ingat sebab casisnya yang semakin lemah. Motornya? Boleh hidup lagi sampai hari ini. Itulah berkenaan dengan barang-barang dulu dan barang sekarang. Saya masih terbayangkan sterika National di rumah mak yang sebarat 3.4 tan bila melihat sterika saya di rumah pagi tadi. Di pagi raya beberapa tahun lepas, mak saya masih menggunakan sterika yang sama, wayarnya dibalut dengan penebat hitam fabrik. Kalau ingatan anda jelas pada zaman retro klasik, kebanyakan wayar zaman itu direka begini. Tak payah pegang, tengok pun dah tahu jenis memang tahan lama. Berbeza dengan peralatan hari ini, sterika di rumah saya adalah unit yang ketiga kalau tidak silap saya dalam masa dua tahun. Dan ia adalah jenama Jepun yang sepatutnya boleh dipakai sampai mati, Kenwood dan Panasonic. Begitu juga halnya dengan pembersih vakum hampagas di rumah saya. Unit pertama ialah Sharp, yang kedua Electrolux, tak sampai setahun dah mula buat hal. Pembakar roti pula hampir sama, prestasinya jauh ketinggalan kalau bandingkan dengan pembakar roti zaman mak ayah kita dulu. Ibarat Viva lawan Skyline. Jadi apa kaitannya dengan kisah ini dengan majalah KERETA. Adakah saya terikut-ikut dengan stail Impiana? Anjung Seri? Adakah kami sudah berubah? Begini. Saya tak pasti samada anda perasan atau tidak, kereta juga tidak ketinggalan mengalami nasib serupa. Baru beli hari ini, esok lusa dah rosak. Mungkin anda ingat saya kata tentang Proton. Bukan Proton sahaja, semua kereta terlibat sama. Malah jangan terkejut kalau saya katakan ada kereta baru yang masalahnya lebih kronik daripada Proton. Kalau di zaman Datsun, Nissan Sunny dan Charade Aura, amat jarang sekali kita dengar masalah-masalah luar jangka pada kereta yang baru dibeli. Ada orang kata sebab kereta dibuat menjadi semakin kompleks dan rumit. Saya boleh setuju pada sebahagiannya sahaja. Namun begitu, kalau kita bandingkan zaman dulu dan sekarang, kita ada sesuatu yang tidak mampu dikejar oleh teknologi dahulu, komputer. Komputer telah mempercepatkan kemajuan, penemuan baru dan teknologi yang boleh menjadi semakin murah. Oleh itu, jika teknologi primitif mampu menghasilkan produk yang boleh bertahan lapan generasi, mengapa tidak teknologi moden yang dibantu sistem komputer? Apa masalahnya? Masalahnya ialah kereta tersebut dipasangkan di Jepun. Tidakkah pembuat kereta Jepun memiliki kakitangan pemeriksaan untuk menilai setiap komponen yang dibekalkan pada mereka? kenapa masalah ini boleh terjadi pada sebuah kereta Jepun? Dimanakah tradisi kerja orang Jepun? Ke vendor dah bagi kat kroni-kroni sebab nak jaga kepentingan perut masing-masing? Itu belum termasuk beberapa orang kawan saya yang beli MPV dengan cermin depan masuk air, sebuah sedan Jepun lagi yang enjinnya meletup kepanasan atas sebab yang tidak diketahui. Ada lagi banyak contoh masalah minor yang terpaksa kita ketepikan. Ironiknya, itulah Malaysia, beli kereta mahal macam cipan, servis lepas jualan macam hanjem. Kalau kat US dah lama kompeni kereta ni bangkrap kena saman. Patutnya, kita kena berpakat buat persatuan pengguna kereta, minta agar servis jualan dibuat setaraf US. Kat sana, kalau beli Hyundai lepas tu kena buang kerja, kereta boleh dipulangkan balik ke pengedar. Kalau barang elektrikalnya pula, tak puas hati boleh pulang juga. Tolak duit restocking sahaja. Masalah dengan negara-negara membangun yang tak berapa nak bangun macam kita ialah hak pengguna kita tidak kuat. Itu menyebabkan pengeluar jadi main-main dan buat acuh tak acuh sahaja. Ramai dari kita jenis yang tak ambil peduli dan menerima seadanya bila satu-satu masalah melanda. Kita semua perlu bangkit. Saya tengok ada seorang dua di laman web yang mengkritik sekeras-kerasnya bila terpaksa menunggu tayar sampai 6 bulan, bateri yang rosak tak sampai 2 tahun. Kita perlu bangkit, surat khabar perlu sokong juga, janganlah duk cerita pasal politik je. Dahlah macam opera dah politik Malaysia ni. Berbalik kepada masalah teknologi tadi. Ia adalah berkait dengan hak kepenggunaan yang longgar. Akhirnya pengeluar mengambil sikap yang sangat tidak bertanggungjawab. Orang boleh kata ia mungkin kesilapan pengeluaran kecil. Tapi kalau sampai bawak kereta tak ada aircond, habis yang buat kompressor tu sama, bukankah ia firma-firma besar yang memang dah berpuluh tahun buat benda yang sama? Vendor-vendor Jepun lazimnya adalah dari kalangan syarikat sepupu-sepapat yang sama, Denso, Hitachi, Mitsubishi Electric, Asahi, Koito. Atau adakah mereka sama-sama mengambil langkah mengurangkan kos? Tapi kenapa kereta makin mahal? Huh, nasib baik saya tak mampu beli kereta baru. irwan@majalahkereta.com.my Visit my blog ---> http://geartinggi.com
|
|
HTML Comment Box is loading comments...
|